Saturday, September 13, 2008

ISU AKIDAH ISLAM.......

Sedih dan pedih. Itulah ungkapan yang dapat digambarkan setelah membaca Akhbar Utusan Malaysia pada hari Selasa, 19 Ogos 2008 Ruangan Dalam Negeri bertajuk ‘Jeffrey Or Dibenar Keluar Islam’.

Mungkin ramai yang terlepas pandang isu ini. Walaubagaimanapun, diharapkan agar semua pembaca dapat menghayati kisah Saudara Jeffrey Or ini kerana satu lagi mutiara yang berjaya kita kutip telah terlepas kembali ke lautan luas. Mutiara yang bergemerlapan di dasar lautan itu juga telah hilang serinya. Apa reaksi kita terhadap isu ini? Adakah kita hanya sekadar melepas tangan atau masih adakah di antara kita yang bersedih tentang isu ini?

Saudara Jeffrey Or Abdullah @ Or Boon Hua, 36 tahun memeluk Islam pada 20 Januari 1994. Dia berkahwin dengan seorang muslimat pada 16 November 1996 tetapi bercerai pada 27 November 2001. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata. Selepas penceraian itu, dia menyatakan permohonan untuk keluar daripada agama Islam di Jabatan Agama Islam Pahang.

Selama 14 tahun memeluk Islam, dia tidak pernah mengamalkan suruhan Islam bahkan masih lagi melakukan ibadat di tokong, memasang colok di rumah dan makan makanan haram. Dia juga memberitahu saksi bahawa dia tidak pernah percaya dengan agama Islam dan kekal dengan amalan sebelum menjadi Islam. Di sini, satu persoalan timbul. Adakah tiada seorang pun pihak dari Jabatan Agama yang ambil peduli tentang kisah ini bermula daripada saat saudara kita ini mengucap dua kalimah syahadah. Apa peranan yang dijalankan isteri, mertua dan jiran Saudara Jeffrey? Apa pula peranan yang dimainkan JAIP bermua dari penyerahan permohonan keluar Islam pada Tahun 2001 sehingga ke tarikh dia keluar dari Islam pada 18 Ogos 2008.

Episod kisah luka ini tercatat dalam lipatan sejarah apabila Hakim Syarie, Datuk A. Rahman Yunus membacakan keputusan mahkamah membenarkan Saudara Jeffrey murtad .di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

Sesungguhnya kita benar-benar terasa kehilangan atas tercabutnya keislaman saudara kita ini. Berdasarkan penelitian yang dibuat terhadap kes-kes murtad sebelum ini, jelas menunjukkan adanya lompang-lompang ketidak efisienan dalam sistem Jabatan Agama Islam di Negara kita. Apakah peranan yang dimainkan oleh mereka? Kalau dulu heboh masalah susah nak memeluk Islam di Jabatan-jabatan ini, kini timbul pula isu murtad yang semakin berleluasa.

Saya serahkan kepada semua untuk menilai isu ini….