Showing posts with label camellia_2431.... Show all posts
Showing posts with label camellia_2431.... Show all posts

Friday, October 24, 2008

KATEGORI 2: ISU PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Ibu Bapa Sebagai Qudwah Hasanah


Ibu bapa yang matang harus tahu bagaimana cara untuk membentuk anak-anak mereka. Dalam hal ini ibu bapa harus bersepakat mendidik dan mewarnai hidup anak-anak. Hendaklah perlakuan ibu bapa yang menjadi contoh kepada anak-anak seragam tanpa ada perbezaan.


Anak-anak akan menjadi keliru jika ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendidik mereka. Jangan ada pandangan yang berbeza antara ibu dan bapa. Misalnya, si ibu menentang sesuatu yang anak lakukan sedangkan si bapa membenarkan. Ibu bapa juga harus berwaspada dengan perlakuan datuk dan nenek atau saudara-saudara yang lain yang berlawanan dengan perlakuan ibu bapa. Kerana ia boleh meruntuhkan cara pendidikan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak.


Untuk mendidik anak-anak dengan cara penampilan dan sahsiah yang baik, ibu bapa perlu menerapkan amalan-amalan yang mulia sebagaimana sunnah Nabi S.A.W dengan mengamalkan akhlak yang mulia.


Amalan-amalan yang mulia hendaklah dilakukan selalu agar anak-anak terbiasa dengan melakukan perkara-perkara yang baik.Untuk membiasakan diri dengan didikan Islam, ia memerlukan kesefahaman, kesepakatan dan kerjasama antara ibu bapa. Ibu bapa perlu sepakat dan saling bekerjasama untuk menerapkan didikan agama ke atas diri anak-anak sejak anak itu kecil lagi, iaitu ketika umurnya antara tujuh sehingga 14 tahun supaya sahsiah anak-anak mudah dibentuk.


Ini adalah masa yang terbaik ibu bapa mendisiplinkan anak-anak. Insya-Allah anak-anak akan menjadi anak yang soleh, sejuk mata memandang dan menjadi pemimpin pada orang-orang yang beriman kelak. Seterusnya untuk menjadikan anak kita cemerlang, gemilang dan terbilang.

Thursday, October 23, 2008

KATEGORI 8: ISU UNDANG-UNDANG ISLAM

Pembaharuan Undang-Undang Keluarga Islam di kalangan masyarakat Islam

Pada awal bulan April tahun ini, seorang professor dari Universiti Malaya mengulas bahawa seorang bapa boleh memaksa anak perempuannya untuk berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya tanpa kerelaan anak perempuan tersebut, dan perkawinan tersebut sah menurut Islam. Pada masa yang sama, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 1983 (EUKI) menyatakan bahawa tertakluk kepada beberapa syarat tertentu, seorang wanita yang masih anak dara, yang mana walinya adalah wali mujbir (samada bapa kandung atau datuk sebelah bapa) boleh dinikahkan tanpa persetujuan dari wanita itu sendiri.

Walau bagaimanapun, pada penghujung minggu yang sama, pihak berkuasa tertinggi agama Kerajaan Arab Saudi telah menegah amalan kahwin paksa (menikahkan wanita tanpa persetujuannya), dengan alasan bahawa amalan tersebut bertentangan dengan peruntukan shariah. Para ulama berpendapat sesiapa yang memaksa seseorang wanita itu berkahwin tanpa kerelaan adalah mengingkari perintah Allah swt dan Rasulnya, dan amalan tersebut adalah satu ketidakadilan yang nyata dan tidak menepati ciri-ciri dan nilai-nilai dalam Islam. Kaedah undang-undang di negara-negara seperti Algeria, Iraq, Syria, Jordan, Morocco, Philipina dan beberapa negeri dalam Malaysia juga menegah amalan ijbar.

Jika terdapat kaedah undang-undang di kebanyakan negara yang menegah amalan ini, persolannya kenapa amalan ini dibenarkan sebagaimana komen yang diberikan oleh professor dari Universiti Malaya dan peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 1983?

Persoalan ini menjadi topik perbincangan dalam dunia Islam, di mana, setelah fiqh yang dirumuskan dalam mazhab-mazhab utama semenjak abad-abad yang lalu diterima sebagai doktrin undang-undang yang muktamad, pembaharuan terkini terhadap undang-undang sedang cuba mengembalikan semula semangat dan ajaran Al Quran dan Sunnah yang sebenar

Saturday, September 13, 2008

ISU AKIDAH ISLAM.......

Sedih dan pedih. Itulah ungkapan yang dapat digambarkan setelah membaca Akhbar Utusan Malaysia pada hari Selasa, 19 Ogos 2008 Ruangan Dalam Negeri bertajuk ‘Jeffrey Or Dibenar Keluar Islam’.

Mungkin ramai yang terlepas pandang isu ini. Walaubagaimanapun, diharapkan agar semua pembaca dapat menghayati kisah Saudara Jeffrey Or ini kerana satu lagi mutiara yang berjaya kita kutip telah terlepas kembali ke lautan luas. Mutiara yang bergemerlapan di dasar lautan itu juga telah hilang serinya. Apa reaksi kita terhadap isu ini? Adakah kita hanya sekadar melepas tangan atau masih adakah di antara kita yang bersedih tentang isu ini?

Saudara Jeffrey Or Abdullah @ Or Boon Hua, 36 tahun memeluk Islam pada 20 Januari 1994. Dia berkahwin dengan seorang muslimat pada 16 November 1996 tetapi bercerai pada 27 November 2001. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata. Selepas penceraian itu, dia menyatakan permohonan untuk keluar daripada agama Islam di Jabatan Agama Islam Pahang.

Selama 14 tahun memeluk Islam, dia tidak pernah mengamalkan suruhan Islam bahkan masih lagi melakukan ibadat di tokong, memasang colok di rumah dan makan makanan haram. Dia juga memberitahu saksi bahawa dia tidak pernah percaya dengan agama Islam dan kekal dengan amalan sebelum menjadi Islam. Di sini, satu persoalan timbul. Adakah tiada seorang pun pihak dari Jabatan Agama yang ambil peduli tentang kisah ini bermula daripada saat saudara kita ini mengucap dua kalimah syahadah. Apa peranan yang dijalankan isteri, mertua dan jiran Saudara Jeffrey? Apa pula peranan yang dimainkan JAIP bermua dari penyerahan permohonan keluar Islam pada Tahun 2001 sehingga ke tarikh dia keluar dari Islam pada 18 Ogos 2008.

Episod kisah luka ini tercatat dalam lipatan sejarah apabila Hakim Syarie, Datuk A. Rahman Yunus membacakan keputusan mahkamah membenarkan Saudara Jeffrey murtad .di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

Sesungguhnya kita benar-benar terasa kehilangan atas tercabutnya keislaman saudara kita ini. Berdasarkan penelitian yang dibuat terhadap kes-kes murtad sebelum ini, jelas menunjukkan adanya lompang-lompang ketidak efisienan dalam sistem Jabatan Agama Islam di Negara kita. Apakah peranan yang dimainkan oleh mereka? Kalau dulu heboh masalah susah nak memeluk Islam di Jabatan-jabatan ini, kini timbul pula isu murtad yang semakin berleluasa.

Saya serahkan kepada semua untuk menilai isu ini….