Friday, October 24, 2008

KATEGORI 2: ISU PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Ibu Bapa Sebagai Qudwah Hasanah


Ibu bapa yang matang harus tahu bagaimana cara untuk membentuk anak-anak mereka. Dalam hal ini ibu bapa harus bersepakat mendidik dan mewarnai hidup anak-anak. Hendaklah perlakuan ibu bapa yang menjadi contoh kepada anak-anak seragam tanpa ada perbezaan.


Anak-anak akan menjadi keliru jika ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendidik mereka. Jangan ada pandangan yang berbeza antara ibu dan bapa. Misalnya, si ibu menentang sesuatu yang anak lakukan sedangkan si bapa membenarkan. Ibu bapa juga harus berwaspada dengan perlakuan datuk dan nenek atau saudara-saudara yang lain yang berlawanan dengan perlakuan ibu bapa. Kerana ia boleh meruntuhkan cara pendidikan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak.


Untuk mendidik anak-anak dengan cara penampilan dan sahsiah yang baik, ibu bapa perlu menerapkan amalan-amalan yang mulia sebagaimana sunnah Nabi S.A.W dengan mengamalkan akhlak yang mulia.


Amalan-amalan yang mulia hendaklah dilakukan selalu agar anak-anak terbiasa dengan melakukan perkara-perkara yang baik.Untuk membiasakan diri dengan didikan Islam, ia memerlukan kesefahaman, kesepakatan dan kerjasama antara ibu bapa. Ibu bapa perlu sepakat dan saling bekerjasama untuk menerapkan didikan agama ke atas diri anak-anak sejak anak itu kecil lagi, iaitu ketika umurnya antara tujuh sehingga 14 tahun supaya sahsiah anak-anak mudah dibentuk.


Ini adalah masa yang terbaik ibu bapa mendisiplinkan anak-anak. Insya-Allah anak-anak akan menjadi anak yang soleh, sejuk mata memandang dan menjadi pemimpin pada orang-orang yang beriman kelak. Seterusnya untuk menjadikan anak kita cemerlang, gemilang dan terbilang.

1 comment:

izzah said...

SALAM...
Apabila kita membicarakan tentang isu pendidikan anak-anak, pengaruh utama yang mempengaruhi sahsiah anak-anak ialah keimanan atau pun pegangan akidah. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ibu bapa merupakan penentu akhlak anak-anak.Jadi saya bersetuju dengan artikel saudari yang menyatakan bahawa ibu bapa menjadi qudwah hasanah kepada anak-anak.Setiap tingkah laku ibu bapa akan memberi kesan yang amat besar dalam pembentukan sahsiah anak-anak.Oleh itu, ibu bapa perlu peka akan isu ini.
Sekian,TQ.