Thursday, October 23, 2008

KATEGORI 7: ISU POLITIK ISLAM

Politik dan Kepartian

Apabila membicarakan isu politik persoalan yang sering bermain di minda kita ialah "bagaimana membawa masyarakat ke arah mencapai matlamatnya" adalah sesuatu yang boleh ditangani oleh semua, bukannya pemimpin sahaja. Ini memerlukan penglibatan semua di dalam menangani "isu-isu politik", dan tidak terhad kepada mereka yang berada di dalam lingkungan kepartian semata-mata. Untuk itu kesedaran politik yang meluas haruslah dipupuk di dalam masyarakat. Untuk itu juga masyarakat harus dapat membezakan di antara isu-isu politik umum dengan isu-isu kepartian. Walaupun politik dan parti, dalam suasana politik semasa begitu berkait, kedua-duanya tidak boleh disamakan.

Kekeliruan ini bukan sahaja menjadi ketara dengan pemahaman umum, malah dikuatkuasakan dengan undang-undang. Namun adakah sebuah organisasi yang dikatakan pertubuhan persahabatan tidak berhak untuk mengeluarkan suara di dalam urusan-urusan yang melibatkan kepentingan rakyat dan masyarakat?

Hak malah kewajiban untuk berpolitik dalam ertikata yang luas bukan sahaja dominasi parti politik, tetapi setiap warga yang yang terkesan dengannya. Menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebenaran di dalam masyarakat, dan menyusun masyarakat menurut lunas-lunas ini, merupakan isu pokok bagi politik, dan tentunya tidak harus diserahkan semata-mata kepada parti- parti politik sahaja.

Malah kalau kita perhatikan, institusi politik kepartian merupakan sesuatu yang baru dalam politik, ciptaan politik barat.Konsep pemerintah dan pembangkang lebih daripada concensus of understanding atau musyawwarah yang ditekankan oleh Islam. Ini memerlukan kumpulan-kumpulan politik yang partisan sifatnya, menekankan semangat kumpulan lebih daripada kebenaran ('asabiyyah?).

Sesungguhnya perbezaan di antara kepartian dan politik adalah jauh. Kadang-kadang kedua-duanya berhimpun, dan kadangkala berpisah. Kadang-kadang seseorang itu adalah orang politik dengan sepenuhnya, dalam keadaan ia tidak mempunyai parti dan tidak ada hubungan dengannya. Kadang-kadang seseorang itu adalah 'orang parti', dalam keadaan ia tidak mengetahui sedikitpun mengenai perkara politik. Kadang-kadang kedua-duanya berhimpun, maka jadilah ia sebagai 'orang politik dan parti' atau 'orang parti dan politik. Maksud di sini hanyalah politik semata-mata, iaitu pandangan terhadap urusan- urusan ummah, dalaman dan luaran, yang tidak terikat dengan parti sama sekali.

Kita tidak menafikan bahawa di dalam suasana realiti politik kini kita tidak dapat lari daripada politik kepartian dalam memperjuangkan Islam dan berdakwah sekalipun. Tetapi dua perkara harus sentiasa ditekankan: pertamanya, semua, baik di dalam parti maupun di luar parti, berhak dan berkewajipan untuk menangani isu-isu politik (dalam ertikata yang luas, yang menyentuh perjalanan masyarakat), dan keduanya, yang turut sama pentingnya, politik, terutamanya politik kepartian, hendaklah tunduk kepada matlamat dan adab dakwah itu sendiri, berada di bawahnya dan bukannya mengatasinya.

Perkara pertama telahpun disentuh sebelum ini.Pentingnya perkara yang kedua tidak dapat disanggah lagi. Bagi pendakwah dan pejuang Islam, ia membezakan mereka yang mempergunakan politik kepartian, dengan yang lain yang tenggelam di dalamnya. Kelainan yang memberi makna baru kepada istilah politicking, yang dicernakan bukan sahaja dengan slogan, tetapi juga dengan akhlaq dan keperibadian, diperlengkapkan dengan nilai keadilan dan bukannya expediency dan populism, dan dengan visi yang jauh dan bermakna, yang dapat membawa rahmah kepada masyarakat itu sendiri.

Ia juga mengingatkan mereka bahawa peranan yang mereka mainkan adalah sebahagian sahaja daripada perjuangan itu, dan di luar terdapat beberapa lagi peranan yang perlu dimainkan oleh saudara mereka yang lain. Inilah yang dituntut oleh fikrah dan manhaj Islam itu sendiri. Apatah lagi, fikrah yang menegaskan kesyumulan Islam ini menekankan juga bahawa politik itu hanya sebahagian daripada ad-din, tentunya bahagian yang penting, namun bukan keseluruhannya, dan di sana ada lagi bahagian-bahagian seperti akhlaq, kekuatan, rahmah, keadilan, budaya, perundangan, ilmu, kebendaan, usaha, dakwah, jihad, aqidah dan ibadah, yang harus sama dibangunkan di dalam masyarakat, seperti yang disebutkan oleh Imam Hassan al-Banna di dalam Risalah at-Ta'alimnya.

No comments: