Showing posts with label camellia2431. Show all posts
Showing posts with label camellia2431. Show all posts

Thursday, October 23, 2008

KATEGORI 7: ISU POLITIK ISLAM

Politik dan Kepartian

Apabila membicarakan isu politik persoalan yang sering bermain di minda kita ialah "bagaimana membawa masyarakat ke arah mencapai matlamatnya" adalah sesuatu yang boleh ditangani oleh semua, bukannya pemimpin sahaja. Ini memerlukan penglibatan semua di dalam menangani "isu-isu politik", dan tidak terhad kepada mereka yang berada di dalam lingkungan kepartian semata-mata. Untuk itu kesedaran politik yang meluas haruslah dipupuk di dalam masyarakat. Untuk itu juga masyarakat harus dapat membezakan di antara isu-isu politik umum dengan isu-isu kepartian. Walaupun politik dan parti, dalam suasana politik semasa begitu berkait, kedua-duanya tidak boleh disamakan.

Kekeliruan ini bukan sahaja menjadi ketara dengan pemahaman umum, malah dikuatkuasakan dengan undang-undang. Namun adakah sebuah organisasi yang dikatakan pertubuhan persahabatan tidak berhak untuk mengeluarkan suara di dalam urusan-urusan yang melibatkan kepentingan rakyat dan masyarakat?

Hak malah kewajiban untuk berpolitik dalam ertikata yang luas bukan sahaja dominasi parti politik, tetapi setiap warga yang yang terkesan dengannya. Menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebenaran di dalam masyarakat, dan menyusun masyarakat menurut lunas-lunas ini, merupakan isu pokok bagi politik, dan tentunya tidak harus diserahkan semata-mata kepada parti- parti politik sahaja.

Malah kalau kita perhatikan, institusi politik kepartian merupakan sesuatu yang baru dalam politik, ciptaan politik barat.Konsep pemerintah dan pembangkang lebih daripada concensus of understanding atau musyawwarah yang ditekankan oleh Islam. Ini memerlukan kumpulan-kumpulan politik yang partisan sifatnya, menekankan semangat kumpulan lebih daripada kebenaran ('asabiyyah?).

Sesungguhnya perbezaan di antara kepartian dan politik adalah jauh. Kadang-kadang kedua-duanya berhimpun, dan kadangkala berpisah. Kadang-kadang seseorang itu adalah orang politik dengan sepenuhnya, dalam keadaan ia tidak mempunyai parti dan tidak ada hubungan dengannya. Kadang-kadang seseorang itu adalah 'orang parti', dalam keadaan ia tidak mengetahui sedikitpun mengenai perkara politik. Kadang-kadang kedua-duanya berhimpun, maka jadilah ia sebagai 'orang politik dan parti' atau 'orang parti dan politik. Maksud di sini hanyalah politik semata-mata, iaitu pandangan terhadap urusan- urusan ummah, dalaman dan luaran, yang tidak terikat dengan parti sama sekali.

Kita tidak menafikan bahawa di dalam suasana realiti politik kini kita tidak dapat lari daripada politik kepartian dalam memperjuangkan Islam dan berdakwah sekalipun. Tetapi dua perkara harus sentiasa ditekankan: pertamanya, semua, baik di dalam parti maupun di luar parti, berhak dan berkewajipan untuk menangani isu-isu politik (dalam ertikata yang luas, yang menyentuh perjalanan masyarakat), dan keduanya, yang turut sama pentingnya, politik, terutamanya politik kepartian, hendaklah tunduk kepada matlamat dan adab dakwah itu sendiri, berada di bawahnya dan bukannya mengatasinya.

Perkara pertama telahpun disentuh sebelum ini.Pentingnya perkara yang kedua tidak dapat disanggah lagi. Bagi pendakwah dan pejuang Islam, ia membezakan mereka yang mempergunakan politik kepartian, dengan yang lain yang tenggelam di dalamnya. Kelainan yang memberi makna baru kepada istilah politicking, yang dicernakan bukan sahaja dengan slogan, tetapi juga dengan akhlaq dan keperibadian, diperlengkapkan dengan nilai keadilan dan bukannya expediency dan populism, dan dengan visi yang jauh dan bermakna, yang dapat membawa rahmah kepada masyarakat itu sendiri.

Ia juga mengingatkan mereka bahawa peranan yang mereka mainkan adalah sebahagian sahaja daripada perjuangan itu, dan di luar terdapat beberapa lagi peranan yang perlu dimainkan oleh saudara mereka yang lain. Inilah yang dituntut oleh fikrah dan manhaj Islam itu sendiri. Apatah lagi, fikrah yang menegaskan kesyumulan Islam ini menekankan juga bahawa politik itu hanya sebahagian daripada ad-din, tentunya bahagian yang penting, namun bukan keseluruhannya, dan di sana ada lagi bahagian-bahagian seperti akhlaq, kekuatan, rahmah, keadilan, budaya, perundangan, ilmu, kebendaan, usaha, dakwah, jihad, aqidah dan ibadah, yang harus sama dibangunkan di dalam masyarakat, seperti yang disebutkan oleh Imam Hassan al-Banna di dalam Risalah at-Ta'alimnya.

KATEGORI 6: ISU PEMBINAAN KELUARGA ISLAM

Keluarga adalah asas dan sumber kekuatan masyarakat. Ini adalah kerana masyarakat itu terdiri daripada unit unit keluarga, dan keluarga adalah laksana sel-sel yang membentuk tubuh. Jika keluarga baik, nescaya masyarakat pun akan menjadi baik, dan sebaliknya jika keluarga itu rosak maka masyarakat seluruhnya akan menjadi rosak.

Sesebuah masyarakat itu pula akan menjadi baik dan dipandang baik hanya bila ia berlandaskan kepada satu sistem hidup yang haq, iaitu Islam, di mana pengabdian hanya kepada Allah sahaja dan tidak kepada sesama manusia atau apa apa sesuatu selain daripada Nya.

Fungsi utama institusi keluarga dalam Islam adalah untuk menjamin wujudnya suasana di mana nilai-nilai Islam dapat tumbuh dan berkembang di dalam jiwa, diri dan peribadi ahli keluarga. Melalui institusi ini generasi muda diasuh dan dididik untuk mencintai Islam dan menghayatinya. Melalui institusi ini jugalah generasi muda dibentuk untuk mendukung aspirasi aspirasi yang diredai dan yang dikehendaki. Suasana ini akan wujud di dalam sebuah keluarga dalam masyarakat Islam kerana pertalian antara ahli keluarga dan segala perlakuan mereka adalah berdasarkan iman dan taqwa kepada Allah semata mata.

Di samping itu terdapat hak hak dan tanggungjawab setiap ahli keluarga yang diatur dengan begitu saksama dan 'adil oleh Islam. Keadaan tidak sihat seperti adanya perasaan dengki dan dendam, tidak puas hati atau mementingkan diri sendiri tidak mendapat tempat di dalam sebuah keluarga Islam. Malah apa yang timbul adalah perasaan kerjasama dan perpaduan antara ahli keluarga.

Pembinaan keluarga Islam ini amat penting difahami oleh setiap muslim dan muslimah. la adalah suatu perkara yang memerlukan perhatian dan pelaksanaan yang teliti demi untuk melahirkan umat yang dapat menjalankan tugasnya. sebagai umat pilihan, yang berusaha secara berterusan untuk membawa sinar kebenaran kepada seluruh dunia

KATEGORI 5: ISU PENGHAYATAN ISLAM

PENGUKURAN PENGHAYATAN ISLAM YANG BERSIFAT HOLISTIK BERTERASKAN AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Penulisan ini bertujuan untuk membincangkan pengukuran penghayatan Islam yang sering disalahfahami oleh kebanyakan ilmuan bahawa “pengukuran penghayatan Islam” adalah suatu yang abstrak dan tidak dapat digunakan untuk mengukur perkara-perkara yang bersifat zahir sepertimana yang ditekankan dalam kaedah penyelidikan lazim. Hal ini adalah kerana kaedah penyelidikan lazim sangat menekankan aspek – aspek yang bersifat luaran yang boleh dilihat, disentuh dan dirasai. Namun begitu, ramai yang tidak sedar bahawa kaedah penyelidikan Islam bukan sahaja menekankan pengukuran aspek-aspek zahir malah pengukuran aspek-aspek zahir dapat membantu menilai aspek-aspek yang bersifat abstrak seperti iman dan taqwa.
Hakikat ini telah dikupas secara menyeluruh dalam sumber rujukan Islam yang bersifat mutlak iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Diharap penulisan ini dapat membantu memperbetulkan persepsi yang salah bahawa kaedah penyelidikan Islam sangat bersifat abstrak dan kurang relevan dalam konteks penyelidikan kontemporari. melalui penulisan ini mudah-mudahan dapat memberi gambaran yang jelas tentang pengukuran penghayatan Islam yang bersifat holistik yang menekankan aspek-aspek zahir yang secara tidak langsung memberi gambaran tentang aspek-aspek yang bersifat spiritual seperti iman dan taqwa.