Thursday, October 23, 2008

KATEGORI 6: ISU PEMBINAAN KELUARGA ISLAM

Keluarga adalah asas dan sumber kekuatan masyarakat. Ini adalah kerana masyarakat itu terdiri daripada unit unit keluarga, dan keluarga adalah laksana sel-sel yang membentuk tubuh. Jika keluarga baik, nescaya masyarakat pun akan menjadi baik, dan sebaliknya jika keluarga itu rosak maka masyarakat seluruhnya akan menjadi rosak.

Sesebuah masyarakat itu pula akan menjadi baik dan dipandang baik hanya bila ia berlandaskan kepada satu sistem hidup yang haq, iaitu Islam, di mana pengabdian hanya kepada Allah sahaja dan tidak kepada sesama manusia atau apa apa sesuatu selain daripada Nya.

Fungsi utama institusi keluarga dalam Islam adalah untuk menjamin wujudnya suasana di mana nilai-nilai Islam dapat tumbuh dan berkembang di dalam jiwa, diri dan peribadi ahli keluarga. Melalui institusi ini generasi muda diasuh dan dididik untuk mencintai Islam dan menghayatinya. Melalui institusi ini jugalah generasi muda dibentuk untuk mendukung aspirasi aspirasi yang diredai dan yang dikehendaki. Suasana ini akan wujud di dalam sebuah keluarga dalam masyarakat Islam kerana pertalian antara ahli keluarga dan segala perlakuan mereka adalah berdasarkan iman dan taqwa kepada Allah semata mata.

Di samping itu terdapat hak hak dan tanggungjawab setiap ahli keluarga yang diatur dengan begitu saksama dan 'adil oleh Islam. Keadaan tidak sihat seperti adanya perasaan dengki dan dendam, tidak puas hati atau mementingkan diri sendiri tidak mendapat tempat di dalam sebuah keluarga Islam. Malah apa yang timbul adalah perasaan kerjasama dan perpaduan antara ahli keluarga.

Pembinaan keluarga Islam ini amat penting difahami oleh setiap muslim dan muslimah. la adalah suatu perkara yang memerlukan perhatian dan pelaksanaan yang teliti demi untuk melahirkan umat yang dapat menjalankan tugasnya. sebagai umat pilihan, yang berusaha secara berterusan untuk membawa sinar kebenaran kepada seluruh dunia

No comments: