Saturday, October 18, 2008

KATEGORI 4: ISU NEGARA ISLAM

MEMBAHAS ISU NEGARA ISLAM………

Wajib Menegak Negara Islam : Satu Tafsiran Yang Muktamad?

Terdapat sekelompok yang signifikan dari kalangan Muslim berkeyakinan bahawa mendirikan negara Islam bukan hanya satu kewajiban ke atas setiap Muslim, tetapi juga merupakan satu prinsip dalam akidah Islam yang tidak boleh digugat dan dikompromi.

Mereka berpendapat bahawa perintah untuk berhukum dengan syariah Allah tidak akan dapat dilaksanakan sepenuhnya kecuali jika di sana terdapat sebuah institusi politik yang dikuasai oleh Muslim. Sebagai contoh, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali oleh seorang penguasa Muslim. Oleh itu, wajib mencapai tampuk kuasa untuk mendirikan negara Islam. Dalam hal ini, mendirikan negara Islam menjadi satu kewajiban yang berkait rapat dengan kesempurnaan iman seseorang kerana ia merupakan wasilah bagi pengamalan syariah sepenuhnya yang merupakan manifestasi bagi sifat ubudiyah kepada Allah taala.

Sesetengah pihak yang berkeyakinan akan wajibnya menegakkan negara Islam berhak untuk berpegang pada tafsiran yang mereka yakini, namun untuk mengatakan bahawa tafsiran mereka sebagai satu hukum yang muktamad adalah tidak betul, bahaya dan perlu diperbetulkan.

Menetapkan kewajiban menegakkan negara Islam sebagai satu prinsip akidah yang tidak boleh dicabar adalah tidak betul kerana ia tidak mempunyai dasar dalam metodologi fiqh yang dipegang oleh para ulama. Perbezaan pendapat samada mendirikan negara Islam itu wajib atau tidak lebih tepat dikatakan sebagai satu masalah yang dikatakan oleh para ulama sebagai majal al-khilaf iaitu ruang ijtihad yang diperbolehkan berlaku perbezaan pendapat. Dalam hal ini, kaedah fiqh yang sepatutnya dipakai ialah, la inkar fi masail al-ijtihad (tidak boleh dihukumkan munkar pandangan dalam soal yang dibenarkan berlaku ijtihad).

Islam membenarkan Muslim untuk berbeza pendapat dalam soal hukum menegakkan negara Islam dan perbezaan pendapat dalam persoalan ini tidak seharusnya mengakibatkan permusuhan apatah lagi sehingga menyesatkan pihak yang lain.

Walaupun artikel ini mengemukan pandangan bahawa hukum mendirikan negara Islam boleh disimpulkan juga sebagai tidak semestinya wajib, tetapi ia tidak menyarankan bahawa menegakkan negara Islam adalah haram atau bid`ah. Ia hanya bermakna bahawa Muslim yang berpegang dengan pandangan tiada pemisahan antara Islam dan politik mempunyai pilihan yang lebih luas untuk membangun satu model yang membolehkan Islam berperanaan secara positif dalam politik dan pembangunan negara.

Kuasa politik dalam bentuk sebuah negara Islam tidak menjamin umat Islam dapat hidup sepenuhnya berdasarakn syariah kerana keterbatasan akan tetap ada dalam bentuk-bentuk yang lain kerana ia adalah hakikat semulajadi alam yang Allah cipta. Atas dasar itu, hidup sebagai seorang Muslim berdasarkan keterbatasan yang ada adalah satu kemestian dan tidak menjadikannya rendah di mata Allah taala.

1 comment:

pemuda insaf said...

blog ini banyak mengetengahkan banyak ideologi dan pemikiran yang seharusnya diperbaiki dan diterapkan oleh semua pihak mengenai isu yang hangat diperhujahkan. iaitu, isu negara islam. kerajaan khususnya seharuslah menerapkan nilai pemikiran yang terbaik iaitu cara yang telah diketengahkan oleh baginda saw dan para khulafa arrasyidin dalam menyelesaikan isu negara islam. disamping itu juga, ketegasan dan keyakinan dalam memberi pemahaman adalah perlu ada dalam setiap pemimpin yang benar-benar berjiwa ingin menyelesaikan isu ini.