Friday, October 24, 2008

Isu Bertudung Di UIAM

Merujuk kepada isu bertudung di kalangan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang hangat dipolemikkan akhir-akhir ini berikutan seorang graduan bukan Islam dihalang oleh pihak UIAM daripada menghadiri majlis konvokesyen pada Ogos lalu.

Sejak penubuhannya pada 1981, UIAM tidak pernah memaksa atau mewajibkan mana-mana mahasiswa bukan Islam untuk bertudung. Ini terbukti dalam undang-undang kecil bertulis universiti tersebut.

Hingga ke saat ini, tiada satu pun kompaun atau tindakan disiplin diambil terhadap mana-mana pelajar bukan Islam yang tidak bertudung. maklumat ini boleh dilihat daripada Bahagian Keselamatan UIAM atau Hal Ehwal Pelajar sendiri.

Sebaliknya, UIAM hanya mewajibkan mahasiswa bukan Islam untuk `berpakaian sopan' sebagai tanda menghormati kesucian Islam yang menjadi tonggak kepada universiti tersebut. Rentetan itu, kesemua pelajar bukan Islam telah mengenakan pakaian sopan seperti berbaju lengan panjang, berskirt labuh dan memakai skarf kecil di atas kepala yang menutup sebahagian kecil rambut mereka.

Ada juga yang bertudung penuh dan ada kalanya, ada yang tidak memakai skarf tersebut semasa program kokurikulum dan tiada pun sebarang tindakan diambil ke atas mereka.

Mereka memakai skarf tersebut semata-mata untuk menghormati rakan dan pensyarah yang lain yang kesemuanya memakai tudung.

Semangat persefahaman dan saling menghormati ini telah tersemat dari satu generasi ke generasi hingga ke saat ini sehinggakan ia telah menjadi satu contoh teladan kepada pelajar bukan Islam yang baru untuk turut memakai skarf atau bertudung.

Sebenarnya, tiada siapa pun yang pernah menyuruh mereka bertudung. Sebaliknya, mereka sendiri yang rasa mereka harus bertudung kerana pelajar senior yang lain pun bertudung.

Sebenarnya apa yang berlaku pada pelajar bukan Islam yang dihalang pada hari konvokesyennya adalah satu isu lain iaitu isu tidak mematuhi kod etika pemakaian konvokesyen. Umum mengetahui, majlis konvokesyen adalah majlis kebesaran sesebuah universiti dan ia melibatkan ramai kenamaan. Pelbagai protokol dan prosedur harus dipatuhi dengan ketat.

Pada majlis konvokesyen UIAM Ogos baru-baru ini, Sultan Pahang, Sultan dan Sultanah Johor serta kerabat dan kenamaan lain turut hadir. Pihak UIAM terpaksa memastikan kesemua graduan mematuhi kod etika pemakaian yang ditetapkan untuk semua graduan Islam dan bukan Islam.

Yang lelaki harus bersongkok dan yang wanita harus bertudung. Ini kerana, pada setiap songkok dan tudung tersebut terdapat jalur logo UIAM yang disulam dengan benang emas, yang menjadi pakaian kebesaran untuk setiap graduan. UIAM tidak menggunakan topi seperti universiti yang lain, kerana mahu membezakan graduannya dengan sulaman benang emas tersebut.

Maka jika seseorang graduan tidak memakai songkok atau tudung khas tersebut, hilanglah seri pakaian kebesaran konvokesyen beliau dan seterusnya mencacatkan pemandangan di atas pentas terutamanya di hadapan kenamaan. Kod etika pemakaian ini telah dinyatakan lebih awal kepada semua graduan dengan begitu lengkap dengan gambar hiasan di dalam buku panduan konvokesyen dan gambar video serta demonstrasi pada hari raptai penuh.

Maka untuk menjaga protokol, pihak UIAM tiada pilihan lain melainkan menahan pelajar tersebut daripada naik ke pentas kenamaan dan menerima ijazahnya dengan pakaian kebesaran konvokesyen yang `tidak lengkap' iaitu tanpa tudung khas tersebut.

Dalam konteks ini, jelas tiada niat keagamaan untuk memaksa pelajar tersebut bertudung. Sebaliknya UIAMlah yang harus dipersalahkan jika membenarkan pelanggaran kod etika pemakaian tersebut kerana ia jelas melanggar protokol para kerabat kenamaan.

Justeru itu, diharap semua pihak berhenti mempolitikkan isu ini kerana ia berupaya mengundang konflik perkauman yang langsung tiada manfaat untuk kita.

1 comment:

faizawaty said...

salam....
kenapa la uiam nk tkr jubah konvo disebabkan isu ni.ni la akibatnya kalau politik telah mempengaruhi pemikiran pentadbiran universiti.lagi pun membazir je jubah dulu.elok lagi, tiada cacat cela pun jubah yang digunakan dahulu.kita sepatutnya bangga dengan imej yang dibawa oleh uiam, begitu unik dan cukup membanggakan.nampak lebih sopan dan sejuk mata memandang.berbeza dengan universitu lain.kenapa la kita nak ikut budaya barat.kita ada budaya kita sendiri berbaju kurung dan bersongkok.apa la nak jadi dengan budaya kita ni.....