Friday, October 24, 2008

KATEGORI 9: ISU ILMU-ILMU ISLAM

Buang Tafsiran Salah Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

Umat Islam perlu mengikis pandangan bahawa hanya ilmu Islam sahaja yang wajib dimiliki. Ini kerana tanpa penguasaan ilmu-ilmu seperti sains, teknologi serta ekonomi telah menyebabkan dunia Islam sekarang serba lemah dan ketinggalan.


Justeru, penguasaan ilmu pengetahuan oleh orang Islam perlu disertakan dengan perubahan minda bagi membolehkannya digunakan untuk memperkasakan umat.


Umat Islam mesti segera berhenti daripada memikirkan kononnya mendapatkan ilmu pengetahuan selain daripada ilmu agama tidak memberi manfaat di alam akhirat nanti.


Jika pemikiran ini dibiarkan berterusan sudah pasti umat Islam terus berada dalam keadaan sekarang ditindas, dimanipulasi dan berhadapan dengan pelbagai ketidakadilan.


Jelas ekoran ketiadaan ilmu lain telah membawa kepada kelemahan umat Islam dari segi keupayaan perindustrian, keupayaan untuk mencipta dan menghasilkan senjata yang boleh menakutkan musuh dan mempertahankan diri.


Masyarakat Islam tidak boleh berlengah lagi dan mesti selalu menganggap belajar ilmu dunia sebagai satu ibadat yang tidak kurang pentingnya dengan mempelajari ilmu Islam.


Takrif yang betul tentang ajaran Islam mengenai usaha mendapatkan ilmu adalah sesuatu yang sangat penting.


Umat Islam tidak seharusnya membiarkan diri mereka dipesongkan oleh takrif yang tidak betul tentang Islam sebagaimana yang mengakibatkan mereka terlepas daripada revolusi perindustrian. Pada masa kini mereka berhadapan pula dengan era teknologi maklumat yang berbentuk global.


Nescaya jika umat Islam masih lagi gagal membuat sesuatu dan bingkas bangkit dari lena yang panjang, masa depan sudah pasti menjanjikan sesuatu yang amat sukar buat umat Islam.


Oleh itu, usaha untuk mendapatkan ilmu pengetahuan perlu berterusan kerana ilmu tidak statik sebaliknya sentiasa berkembang.


Mulai sekarang umat Islam perlu faham mereka mesti mempunyai pakar yang mahir dalam satu-satu bidang dan dalam pencarian ilmu, mesti ada pembahagian tenaga seperti dalam sains, matematik, perubatan dan sebagainya dan bukan lebih menjurus dan memberatkan kepada ilmu yang berbentuk agama semata-mata.



No comments: