Sunday, March 8, 2009
SALAM MAULIDUR RASUL 1430H
Rasulullah S.A.W. diutuskan kepada umat manusia sebagai penghulu segala nabi, maka wajib kita sama-sama mentaatinya, dengan erti kata lain kita melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita beroleh kecemerlangan dan kegemilangan hidup di dunia dan juga di akhirat.
Friday, October 24, 2008
Isu Bertudung Di UIAM
Merujuk kepada isu bertudung di kalangan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang hangat dipolemikkan akhir-akhir ini berikutan seorang graduan bukan Islam dihalang oleh pihak UIAM daripada menghadiri majlis konvokesyen pada Ogos lalu.
Sejak penubuhannya pada 1981, UIAM tidak pernah memaksa atau mewajibkan mana-mana mahasiswa bukan Islam untuk bertudung. Ini terbukti dalam undang-undang kecil bertulis universiti tersebut.
Hingga ke saat ini, tiada satu pun kompaun atau tindakan disiplin diambil terhadap mana-mana pelajar bukan Islam yang tidak bertudung. maklumat ini boleh dilihat daripada Bahagian Keselamatan UIAM atau Hal Ehwal Pelajar sendiri.
Sebaliknya, UIAM hanya mewajibkan mahasiswa bukan Islam untuk `berpakaian sopan' sebagai tanda menghormati kesucian Islam yang menjadi tonggak kepada universiti tersebut. Rentetan itu, kesemua pelajar bukan Islam telah mengenakan pakaian sopan seperti berbaju lengan panjang, berskirt labuh dan memakai skarf kecil di atas kepala yang menutup sebahagian kecil rambut mereka.
Ada juga yang bertudung penuh dan ada kalanya, ada yang tidak memakai skarf tersebut semasa program kokurikulum dan tiada pun sebarang tindakan diambil ke atas mereka.
Mereka memakai skarf tersebut semata-mata untuk menghormati rakan dan pensyarah yang lain yang kesemuanya memakai tudung.
Semangat persefahaman dan saling menghormati ini telah tersemat dari satu generasi ke generasi hingga ke saat ini sehinggakan ia telah menjadi satu contoh teladan kepada pelajar bukan Islam yang baru untuk turut memakai skarf atau bertudung.
Sebenarnya, tiada siapa pun yang pernah menyuruh mereka bertudung. Sebaliknya, mereka sendiri yang rasa mereka harus bertudung kerana pelajar senior yang lain pun bertudung.
Sebenarnya apa yang berlaku pada pelajar bukan Islam yang dihalang pada hari konvokesyennya adalah satu isu lain iaitu isu tidak mematuhi kod etika pemakaian konvokesyen. Umum mengetahui, majlis konvokesyen adalah majlis kebesaran sesebuah universiti dan ia melibatkan ramai kenamaan. Pelbagai protokol dan prosedur harus dipatuhi dengan ketat.
Pada majlis konvokesyen UIAM Ogos baru-baru ini, Sultan Pahang, Sultan dan Sultanah Johor serta kerabat dan kenamaan lain turut hadir. Pihak UIAM terpaksa memastikan kesemua graduan mematuhi kod etika pemakaian yang ditetapkan untuk semua graduan Islam dan bukan Islam.
Yang lelaki harus bersongkok dan yang wanita harus bertudung. Ini kerana, pada setiap songkok dan tudung tersebut terdapat jalur logo UIAM yang disulam dengan benang emas, yang menjadi pakaian kebesaran untuk setiap graduan. UIAM tidak menggunakan topi seperti universiti yang lain, kerana mahu membezakan graduannya dengan sulaman benang emas tersebut.
Maka jika seseorang graduan tidak memakai songkok atau tudung khas tersebut, hilanglah seri pakaian kebesaran konvokesyen beliau dan seterusnya mencacatkan pemandangan di atas pentas terutamanya di hadapan kenamaan. Kod etika pemakaian ini telah dinyatakan lebih awal kepada semua graduan dengan begitu lengkap dengan gambar hiasan di dalam buku panduan konvokesyen dan gambar video serta demonstrasi pada hari raptai penuh.
Maka untuk menjaga protokol, pihak UIAM tiada pilihan lain melainkan menahan pelajar tersebut daripada naik ke pentas kenamaan dan menerima ijazahnya dengan pakaian kebesaran konvokesyen yang `tidak lengkap' iaitu tanpa tudung khas tersebut.
Dalam konteks ini, jelas tiada niat keagamaan untuk memaksa pelajar tersebut bertudung. Sebaliknya UIAMlah yang harus dipersalahkan jika membenarkan pelanggaran kod etika pemakaian tersebut kerana ia jelas melanggar protokol para kerabat kenamaan.
Justeru itu, diharap semua pihak berhenti mempolitikkan isu ini kerana ia berupaya mengundang konflik perkauman yang langsung tiada manfaat untuk kita.


KATEGORI 2: ISU PENDIDIKAN ANAK-ANAK
Ibu Bapa Sebagai Qudwah Hasanah
Ibu bapa yang matang harus tahu bagaimana cara untuk membentuk anak-anak mereka. Dalam hal ini ibu bapa harus bersepakat mendidik dan mewarnai hidup anak-anak. Hendaklah perlakuan ibu bapa yang menjadi contoh kepada anak-anak seragam tanpa ada perbezaan.
Anak-anak akan menjadi keliru jika ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendidik mereka. Jangan ada pandangan yang berbeza antara ibu dan bapa. Misalnya, si ibu menentang sesuatu yang anak lakukan sedangkan si bapa membenarkan. Ibu bapa juga harus berwaspada dengan perlakuan datuk dan nenek atau saudara-saudara yang lain yang berlawanan dengan perlakuan ibu bapa. Kerana ia boleh meruntuhkan cara pendidikan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak.
Untuk mendidik anak-anak dengan cara penampilan dan sahsiah yang baik, ibu bapa perlu menerapkan amalan-amalan yang mulia sebagaimana sunnah Nabi S.A.W dengan mengamalkan akhlak yang mulia.
Amalan-amalan yang mulia hendaklah dilakukan selalu agar anak-anak terbiasa dengan melakukan perkara-perkara yang baik.Untuk membiasakan diri dengan didikan Islam, ia memerlukan kesefahaman, kesepakatan dan kerjasama antara ibu bapa. Ibu bapa perlu sepakat dan saling bekerjasama untuk menerapkan didikan agama ke atas diri anak-anak sejak anak itu kecil lagi, iaitu ketika umurnya antara tujuh sehingga 14 tahun supaya sahsiah anak-anak mudah dibentuk.
Ini adalah masa yang terbaik ibu bapa mendisiplinkan anak-anak. Insya-Allah anak-anak akan menjadi anak yang soleh, sejuk mata memandang dan menjadi pemimpin pada orang-orang yang beriman kelak. Seterusnya untuk menjadikan anak kita cemerlang, gemilang dan terbilang.
KATEGORI 10: ISU PENUNTUT ISLAM DI IPT
| Isu penuntut IPT mengaku mutad |
| | |||
| Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) sepatutnya memandang serius kes-kes murtad di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta sebagai kerana ia akan memberikan implikasi yang besar kepada negara.
Memandangkan kementerian bertanggungjawab ke atas IPT maka mereka perlu berusaha untuk membendung dan mengelakkan budaya yang menyuburkan murtad di negara ini daripada terus berleluasa.
Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Adham Baba yang menganggap isu tersebut sebagai kes terpencil ketika ditanya sama ada kes murtad di kalangan penuntut pengajian tinggi di negara ini mencapai tahap serius dalam sebuah akhbar baru-baru ini.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menyiasat perkara ini bagi mendapatkan maklumat sebenar dan juga perlu membuat siasatan rapi serta mengambil tindakan selanjutnya. Isu ini timbul berikutan satu laporan sebuah akhbar baru-baru ini, berhubung dakwaan seorang penuntut Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Cyberjaya yang beragama Islam telah mengisytiharkan dirinya murtad menerusi satu kenyataan dalam laman blog miliknya.
Di samping itu, dalam laman blog penuntut terbabit yang disiarkan di akhbar, dia mendakwa keluar daripada Islam kerana tidak mempercayai beberapa hukumnya.
Penuntut lelaki terbabit yang mengikuti kursus Kejuruteraan Mekanikal di universiti berkenaan mendakwa tindakan mendedahkan dirinya murtad menyebabkan dia menerima mesej ugutan bunuh biarpun bukan bertujuan menghina orang lain.
Dakwanya, dia kini berfahaman atheis yang tidak mempercayai agama walaupun namanya merujuk kepada nama seorang Islam.
Tindakannya membuat pengakuan murtad secara terbuka dalam laman blognya itu menyebabkan ramai rakannya berusaha memujuknya kembali ke pangkuan Islam.
Sementara itu, Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga diarah oleh KPT untuk menyiasat tindakan seorang penuntutnya beragama Islam, murtad kerana siswa tersebut dipercayai murtad selepas bergaul dengan rakannya daripada agama lain.
Bagaimanapun, berikutan gangguan sistem komputer di universiti terbabit, nama penuntut terbabit gagal dikesan. |
KATEGORI 9: ISU ILMU-ILMU ISLAM
|
Thursday, October 23, 2008
KATEGORI 8: ISU UNDANG-UNDANG ISLAM
Pada awal bulan April tahun ini, seorang professor dari Universiti Malaya mengulas bahawa seorang bapa boleh memaksa anak perempuannya untuk berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya tanpa kerelaan anak perempuan tersebut, dan perkawinan tersebut sah menurut Islam. Pada masa yang sama, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 1983 (EUKI) menyatakan bahawa tertakluk kepada beberapa syarat tertentu, seorang wanita yang masih anak dara, yang mana walinya adalah wali mujbir (samada bapa kandung atau datuk sebelah bapa) boleh dinikahkan tanpa persetujuan dari wanita itu sendiri.
Walau bagaimanapun, pada penghujung minggu yang sama, pihak berkuasa tertinggi agama Kerajaan Arab Saudi telah menegah amalan kahwin paksa (menikahkan wanita tanpa persetujuannya), dengan alasan bahawa amalan tersebut bertentangan dengan peruntukan shariah. Para ulama berpendapat sesiapa yang memaksa seseorang wanita itu berkahwin tanpa kerelaan adalah mengingkari perintah Allah swt dan Rasulnya, dan amalan tersebut adalah satu ketidakadilan yang nyata dan tidak menepati ciri-ciri dan nilai-nilai dalam Islam. Kaedah undang-undang di negara-negara seperti Algeria, Iraq, Syria, Jordan, Morocco, Philipina dan beberapa negeri dalam Malaysia juga menegah amalan ijbar.
Jika terdapat kaedah undang-undang di kebanyakan negara yang menegah amalan ini, persolannya kenapa amalan ini dibenarkan sebagaimana komen yang diberikan oleh professor dari Universiti Malaya dan peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 1983?
Persoalan ini menjadi topik perbincangan dalam dunia Islam, di mana, setelah fiqh yang dirumuskan dalam mazhab-mazhab utama semenjak abad-abad yang lalu diterima sebagai doktrin undang-undang yang muktamad, pembaharuan terkini terhadap undang-undang sedang cuba mengembalikan semula semangat dan ajaran Al Quran dan Sunnah yang sebenar
KATEGORI 7: ISU POLITIK ISLAM
Kekeliruan ini bukan sahaja menjadi ketara dengan pemahaman umum, malah dikuatkuasakan dengan undang-undang. Namun adakah sebuah organisasi yang dikatakan pertubuhan persahabatan tidak berhak untuk mengeluarkan suara di dalam urusan-urusan yang melibatkan kepentingan rakyat dan masyarakat?
Hak malah kewajiban untuk berpolitik dalam ertikata yang luas bukan sahaja dominasi parti politik, tetapi setiap warga yang yang terkesan dengannya. Menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebenaran di dalam masyarakat, dan menyusun masyarakat menurut lunas-lunas ini, merupakan isu pokok bagi politik, dan tentunya tidak harus diserahkan semata-mata kepada parti- parti politik sahaja.
Malah kalau kita perhatikan, institusi politik kepartian merupakan sesuatu yang baru dalam politik, ciptaan politik barat.Konsep pemerintah dan pembangkang lebih daripada concensus of understanding atau musyawwarah yang ditekankan oleh Islam. Ini memerlukan kumpulan-kumpulan politik yang partisan sifatnya, menekankan semangat kumpulan lebih daripada kebenaran ('asabiyyah?).
Sesungguhnya perbezaan di antara kepartian dan politik adalah jauh. Kadang-kadang kedua-duanya berhimpun, dan kadangkala berpisah. Kadang-kadang seseorang itu adalah orang politik dengan sepenuhnya, dalam keadaan ia tidak mempunyai parti dan tidak ada hubungan dengannya. Kadang-kadang seseorang itu adalah 'orang parti', dalam keadaan ia tidak mengetahui sedikitpun mengenai perkara politik. Kadang-kadang kedua-duanya berhimpun, maka jadilah ia sebagai 'orang politik dan parti' atau 'orang parti dan politik. Maksud di sini hanyalah politik semata-mata, iaitu pandangan terhadap urusan- urusan ummah, dalaman dan luaran, yang tidak terikat dengan parti sama sekali.
Kita tidak menafikan bahawa di dalam suasana realiti politik kini kita tidak dapat lari daripada politik kepartian dalam memperjuangkan Islam dan berdakwah sekalipun. Tetapi dua perkara harus sentiasa ditekankan: pertamanya, semua, baik di dalam parti maupun di luar parti, berhak dan berkewajipan untuk menangani isu-isu politik (dalam ertikata yang luas, yang menyentuh perjalanan masyarakat), dan keduanya, yang turut sama pentingnya, politik, terutamanya politik kepartian, hendaklah tunduk kepada matlamat dan adab dakwah itu sendiri, berada di bawahnya dan bukannya mengatasinya.
Perkara pertama telahpun disentuh sebelum ini.Pentingnya perkara yang kedua tidak dapat disanggah lagi. Bagi pendakwah dan pejuang Islam, ia membezakan mereka yang mempergunakan politik kepartian, dengan yang lain yang tenggelam di dalamnya. Kelainan yang memberi makna baru kepada istilah politicking, yang dicernakan bukan sahaja dengan slogan, tetapi juga dengan akhlaq dan keperibadian, diperlengkapkan dengan nilai keadilan dan bukannya expediency dan populism, dan dengan visi yang jauh dan bermakna, yang dapat membawa rahmah kepada masyarakat itu sendiri.
Ia juga mengingatkan mereka bahawa peranan yang mereka mainkan adalah sebahagian sahaja daripada perjuangan itu, dan di luar terdapat beberapa lagi peranan yang perlu dimainkan oleh saudara mereka yang lain. Inilah yang dituntut oleh fikrah dan manhaj Islam itu sendiri. Apatah lagi, fikrah yang menegaskan kesyumulan Islam ini menekankan juga bahawa politik itu hanya sebahagian daripada ad-din, tentunya bahagian yang penting, namun bukan keseluruhannya, dan di sana ada lagi bahagian-bahagian seperti akhlaq, kekuatan, rahmah, keadilan, budaya, perundangan, ilmu, kebendaan, usaha, dakwah, jihad, aqidah dan ibadah, yang harus sama dibangunkan di dalam masyarakat, seperti yang disebutkan oleh Imam Hassan al-Banna di dalam Risalah at-Ta'alimnya.
